LANGKAH Kerajaan Madani memberikan potongan 50 peratus bayaran tol sempena perayaan Tahun Baharu Cina merupakan langkah tepat dan positif bagi meringankan beban rakyat.
Itu pandangan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Sistem Keselamatan Jalan Raya, Persatuan Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia (MiSHA), Ts. Abd Mutalib Abd Gapar.
Beliau berkata, walaupun manfaat diskaun tersebut lebih terfokus kepada pengguna lebuh raya yang memiliki kenderaan persendirian, tetapi ia tetap menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Walaupun terdapat beberapa cabaran seperti kemungkinan peningkatan trafik yang boleh menyebabkan kesesakan jalan raya, ia tidak mengurangi nilai usaha kerajaan sebolehnya menjaga kebajikan rakyat.
“Saya bagaimanapun mencadangkan kerajaan mencari solusi jangka panjang seperti menurunkan kadar tol secara kekal atau meningkatkan kecekapan pengangkutan awam.
“Ini selaras dengan matlamat MADANI untuk memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Edisi 9 hari ini.

Beliau mengulas keputusan yang memberikan pengurangan 50 peratus daripada bayaran sebenar tol mulia 12.01 tengah malam 27 Januari sehingga 11.59 tengah malam 27 Januari ini sempena Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian itu merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023 lalu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat Kabinet semalam turut didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.

Abd Mutalib berkata, inisiatif seperti diskaun tol tersebut tidak hanya memberikan impak langsung kepada pengguna lebuh raya, tetapi turut mencerminkan dasar inklusif dan peduli rakyat yang menjadi teras kepada pentadbiran MADANI.
“Dalam jangka panjang, kejayaan langkah ini akan terus menyokong keyakinan rakyat terhadap kerajaan, terutamanya apabila rakyat dapat melihat hasil nyata daripada pengurusan ekonomi yang cekap dan telus.
“Keseimbangan yang dicapai antara kebajikan rakyat dan keperluan fiskal negara menunjukkan bahawa kerajaan berada di landasan yang tepat dalam mengutamakan kepentingan semua pihak,” kata beliau.
Nanta Linggi berkata, beliau sebelum ini mengumumkan pemberian tol percuma musim perayaan berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024. – Edisi 9


Leave a Reply