TAHUN 2025 Malaysia kembali memegang tampuk kepengerusian ASEAN dan ini merupakan kali kelima dalam sejarah penganjurannya.
Membawa tema optimistik Keterangkuman dan Kemampanan, di atas kertas, ia kelihatan seperti peluang emas bagi negara untuk memimpin rantau yang kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dengan KDNK AS$3.8 trilion.
Namun, di sebalik segala janji manis dan visi jangka panjang, timbul persoalan besar, adakah Malaysia benar-benar bersedia, atau adakah ini hanya satu lagi helah politik yang akan hilang begitu sahaja selepas tahun berganti?
Salah satu agenda utama yang diwar-warkan ialah pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN (APG), sebuah inisiatif tenaga hijau yang kononnya bakal menjadikan ASEAN sebagai hab tenaga mapan dunia.
Retoriknya hebat iaitu dengan mencipta penyambungan tenaga di darat dan dasar laut, menarik pelaburan antarabangsa, dan memberi manfaat besar kepada rantau ini.

Namun yang pasti, untuk merealisasikannya jauh lebih sukar dari menzahirkan dengan ucapan mahupun kertas cadangan.
Isu seperti perbezaan dasar tenaga antara negara anggota dan halangan geopolitik sering menggagalkan projek besar seumpama ini.
Ada yang bertanya, adakah Malaysia mampu memastikan APG menjadi kenyataan, atau ini sekadar impian kosong yang dipasarkan untuk menutup kelemahan pelaksanaan dasar tenaga domestik?
Kemudian, ada soal penglibatan Timor-Leste, yang menjadi satu lagi keutamaan Malaysia.
Walaupun kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN dilihat sebagai langkah untuk menunjukkan keterangkuman, ramai penganalisis meragui kesediaan negara itu.
Ekonomi mereka kecil, infrastrukturnya masih di tahap membangun, dan kestabilan politiknya belum benar-benar terjamin.
Adakah ini langkah bijak, atau hanya beban tambahan yang akhirnya perlu ditanggung oleh negara-negara anggota lain?

Persoalan ini tidak mendapat jawapan jelas, melainkan slogan kosong tentang “persaudaraan ASEAN.”
Agenda Malaysia untuk mempromosikan pendigitalan, perdagangan, dan pelaburan serantau juga tidak terlepas daripada kritikan.
Sebagai pengerusi, Malaysia bercadang untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan rakan seperti China, Jepun, dan Korea Selatan.
Namun, hakikatnya, negara masih bergelut dengan isu dalaman seperti birokrasi perlahan, ketirisan dana, dan ketidakupayaan menarik pelabur berkualiti tinggi.
Dengan ekonomi ASEAN yang bernilai AS$2.57 trilion, rakyat mungkin tertanya-tanya, apa yang kita dapat daripada semua mesyuarat mega ini selain gambar-gambar rasmi untuk media?
Lebih sinis lagi, manfaat ekonomi untuk rakyat bawahan sering menjadi persoalan yang tidak mendapat perhatian serius.
Acara-acara ASEAN berskala besar lazimnya menguntungkan syarikat besar, kontraktor utama, dan pemain industri elit.
Bagaimana pula dengan peniaga kecil, petani, dan masyarakat luar bandar?
Seorang peniaga kecil di Langkawi pernah mengeluh bahawa projek pelancongan besar di kawasan itu tidak memberi sebarang impak langsung kepada perniagaannya.
“Kami hanya melihat delegasi lalu, tapi mereka tidak singgah ke gerai-gerai kecil seperti kami,” katanya dengan nada kecewa.
Begitulah realitinya, segalanya cantik di atas kertas, tetapi impaknya sering tidak dirasai di peringkat bawah.
Selain itu, penganjuran acara ASEAN di lokasi-lokasi pelancongan popular seperti Langkawi, walaupun mengangkat nama Malaysia, menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian alam sekitar.
Projek besar-besaran sering kali membawa kepada pencemaran, kemusnahan habitat, dan tekanan kepada ekosistem setempat.
Siapa yang peduli tentang keindahan pantai kita apabila fokusnya hanya pada angka keuntungan?
Rakyat juga mulai bosan dengan retorik “berpaksikan rakyat” yang sering diulang-ulang setiap kali Malaysia mempengerusikan ASEAN.

Janji 29 mesyuarat berteraskan komuniti akar umbi mungkin kedengaran menarik, tetapi rekod menunjukkan bahawa banyak program seperti ini lebih banyak memberi manfaat kepada golongan bandar dan elit.
Komuniti luar bandar, yang kononnya menjadi tumpuan utama, sering ditinggalkan di pinggiran.
Namun, apa yang paling ironi adalah betapa negara sering menggunakan sejarah silam sebagai bahan nostalgia untuk menutup kelemahan semasa.
Kisah-kisah seperti Mahsuri diangkat untuk menarik perhatian delegasi asing, tetapi apakah maknanya jika budaya dan warisan tempatan sendiri tidak dihargai di dalam negara?
Ini bukan soal cerita Mahsuri atau laksa kedah, tetapi soal keikhlasan kerajaan untuk benar-benar memanfaatkan peluang ini bagi membawa perubahan yang nyata.
Kepengerusian ASEAN 2025 mungkin kelihatan seperti peluang gemilang untuk Malaysia, tetapi jika cabaran-cabaran ini tidak ditangani dengan serius, ia hanya akan menjadi satu lagi acara kosong yang penuh dengan janji-janji retorik.
Rakyat tidak memerlukan slogan indah atau gambar-gambar delegasi tersenyum, mereka mahukan tindakan nyata, penyelesaian berkesan, dan hasil yang boleh dirasai.
Semoga kerajaan Madani kita bukan hanya lantang berjaya melaksanakan teori dengan jayanya malah membuktikan praktikal dengan kejayaan yang penuh hebat dan bermanfaat untuk semua. – Edisi 9


Leave a Reply