Anak muda tidak boleh hanya jadi penonton arena politik – Zahid

ANAK muda hari ini tidak boleh hanya menjadi penonton dalam arena politik, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, menurut beliau, mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang, dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia.

Atas sebab itu, beliau berkata, UMNO menubuhkan Sekolah Patriotik iaitu sebuah institusi yang bukan sekadar wadah pembelajaran politik, tetapi medan untuk membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda.

“Sekolah ini bertujuan melahirkan pemimpin masa depan yang bukan hanya memahami strategi dan selok-belok politik, tetapi lebih penting, menjiwai nilai perjuangan UMNO yang sebenar. 

“Kita mahu membina kepimpinan yang bukan sekadar mahir berpidato atau menguasai teori, tetapi benar-benar mempunyai daya juang, daya tahan, dan daya saing yang tinggi, tanpa mengabaikan kesetiaan kepada agama, bangsa, dan negara.

“Melalui Sekolah Patriotik UMNO, kita membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk menyumbang idea, berdiskusi secara terbuka, serta menjalani latihan kepimpinan yang akan memperkasa keupayaan mereka sebagai pemimpin masa hadapan,” katanya.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Sekolah Patriotik UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Zahid berkata, beliau yakin dengan kesungguhan, disiplin, dan semangat perjuangan yang tinggi, Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi batu asas kepada kebangkitan generasi baharu yang akan membawa parti ini ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.

Seramai, 50 peserta perintis telah dipilih untuk mengikuti program tersebut.

Mereka akan melalui modul-modul latihan yang dirangka secara holistik, merangkumi aspek pemikiran kritis, kepimpinan strategik, dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO. 

Modul ini akan terus dikembangkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya dalam membentuk generasi pemimpin yang cerdas, berani, dan berkeyakinan tinggi untuk menggalas tanggungjawab besar dalam meneruskan obor perjuangan parti.

“Saya percaya bahawa usaha ini adalah satu langkah strategik dalam memastikan UMNO terus relevan dan kekal sebagai tunjang politik negara,” kata beliau. – Edisi 9

Leave a Reply

Your email address will not be published.