KIRA-KIRA 200 waris keluarga Ibrahim dan Nafisah telah berkumpul di Dewan Perkim Masjid Tanah, Melaka sempena majlis perjumpaan dan perhimpunan keluarga, semalam.
Mereka terdiri daripada waris empat anak pasangan tersebut itu Nek Gembor, Nek Nah, Nek Che Nor dan Nek Che Yun yang datang dari Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
Menurut pengerusi penganjur, Dr Norlee Hazaniza Ahmad, ini merupakan kali pertama waris keluarga Ibrahim dan Nafisah berkumpul dalam satu majlis khas sebagai usaha merapatkan lagi hubungan kekeluargaan di antara mereka.
“Ibrahim dan Nafisah ini ada empat orang anak dan daripada merekalah maka lahirnya kami semua. Namun ramai di antara kami masih belum mengenali antara satu sama lain.
“Jadi menerusi program ini, kami berharap dapat mengenali antara satu sama lain dan merapatkan lagi hubungan di antara waris Ibrahim dan Nafisah ini,” katanya selepas majlis tersebut.

Program pertemuan keluarga Ibrahim dan Nafisah itu berlangsung dari 9 pagi sehingga 4 petang yang padat dengan pelbagai acara.
Dr Norlee Hazaniza berkata, selain daripada permainan untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa, program turut diisi dengan pertukaran hadiah dan lain-lain acara.
“Ramai yang berharap selepas ini dapat diadakan lagi perjumpaan keluarga seperti ini dan jika boleh kami mahu jadikannya acara tahunan supaya lebih ramai lagi dapat dihimpunkan,” katanya.
Beliau berkata, sempena perjumpaan itu, mereka juga sedang menyusun susur-galur keluarga Ibrahim dan Nafisah tersebut selain mewujudkan platform dalam media sosial.
“Sehingga kini kita sudah mengesan lebih 600 ahli keluarga dan warisan Ibrahim dan Nafisah ini dan diharap mereka semua dapat tampil dan bersama-sama kami,” katanya yang juga cucu kepada Nek Che Yun. – Edisi 9


Leave a Reply